HUKUM RAWATAN PERGIGIAN DALAM BULAN PUASA

Share This Post

Share on facebook
Share on linkedin
Share on twitter
Share on email

Rawatan pergigian rutin seperti scaling, rawatan tampalan dan cabutan sepatutnya tidak membatalkan puasa. Terdapat pelbagai garis panduan dalam Islam yang ditetapkan dengan tujuan untuk memudahkan urusan ibadat dan kehidupan seharian penganutnya. Islam juga turut menitikberatkan penjagaan kesihatan umatnya.

Suntikan bius setempat

Suntikan bius setempat selalunya dilakukan sebelum cabutan gigi dimulakan, dengan tujuan gigi yang terlibat dan kawasan sekitarnya menjadi kebas supaya pesakit dapat menerima rawatan dengan selesa dan tanpa kesakitan. Prosedur ini termasuk dalam kategori ubat suntikan yang tidak membatalkan puasa.

Cabutan gigi

Rawatan cabutan itu sendiri tidak membatalkan puasa. Namun begitu, setelah kesan bius setempat yang diberikan sebelum cabutan dilakukan mula hilang, anda mungkin akan berasa sakit pada kawasan tersebut dan perlu mengambil ubat penahan sakit. Ubat penahan sakit dalam bentuk tablet perlu diambil dengan ditelan, dan akan membatalkan puasa anda.

Rawatan scaling dan tampalan

Persamaan antara rawatan scaling dan tampalan adalah kedua-duanya dilakukan dengan alat tangan bermotor (handpiece) yang mengeluarkan air suling melalui hujung alat tersebut ke dalam mulut anda. Penyemburan air suling ini diperlukan supaya alat tersebut tidak menjadi panas kerana haba yang terhasil boleh memudaratkan gigi anda.

Selagi anda tidak menelan air suling tersebut, puasa anda kemungkinan besar masih sah. Alat penyedut (suction device) ada digunakan untuk menyedut air suling dan air liur yang terkumpul dalam mulut anda ketika rawatan. Anda juga boleh meludah ketika rawatan sekiranya air yang terkumpul membuatkan anda berasa tidak selesa. Kadangkala, rubber dam (penghadang getah) turut dipasang ketika rawatan. Penggunaan rubber dam mengasingkan gigi yang dirawat dengan kawasan mulut lain dan oleh itu akan menghalang air suling daripada mengalir masuk ke dalam mulut anda.

Ubat kumur

Sesetengah pesakit berasa tidak selesa menggunakan ubat kumur ketika berpuasa kerana kadangkala ia meninggalkan rasa asing di dalam mulut walaupun setelah diludah sepenuhnya. Sekiranya anda tidak selesa menggunakan ubat ini ketika berpuasa, anda boleh nyatakan hal tersebut kepada doktor gigi anda supaya perbincangan boleh dibuat untuk mencari alternatif lain atau mengubah waktu pengambilan ubat kumur tersebut.

Kebersihan mulut

Kita semua sedia maklum bahawa mulut orang yang berpuasa kadangkala mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Ini adalah tindakbalas semulajadi kerana mulut anda akan menjadi lebih kering dan berlaku pengumpulan bahan bersulfur di dalam mulut ketika berpuasa. Adalah penting untuk anda membersihkan mulut anda dengan teliti sebelum tidur dan juga selepas bersahur, serta meminum air yang cukup ketika berbuka untuk menghidrasikan badan anda setelah seharian berpuasa.

Penggunaan berus gigi dengan ubat gigi dan juga ubat kumur dibenarkan ketika berpuasa, selagi anda tidak menggunakannya secara keterlaluan. Anda juga perlu menjalani pemeriksaan mulut untuk memastikan bahawa bau mulut anda bukanlah berpunca daripada penyakit oral seperti karies gigi, penyakit gusi, nanah, kanser, dan sebagainya.

Pengambilan ubat-ubatan secara oral (ditelan)

Ada kalanya, doktor gigi anda terpaksa memberi preskripsi ubat untuk diambil ketika bulan Ramadan. Dos dan waktu pengambilan beberapa jenis ubat mungkin boleh diubah supaya anda tidak perlu tidak berpuasa untuk makan ubat tersebut. Contohnya, untuk ubat yang perlu dimakan tiga kali sehari, anda mungkin boleh mengambilnya pada waktu berbuka, sebelum tidur dan waktu bersahur. Yang penting, sekiranya anda ragu-ragu tentang tatacara pengambilan ubat pada bulan puasa, anda perlu menyuarakannya dan berbincang dengan doktor gigi anda untuk mencari alternatif dan mencapai kata sepakat yang terbaik untuk memulihkan kembali kesihatan mulut anda.

Berpuasa tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak menjaga kebersihan mulut dan mendapatkan rawatan pergigian, selari dengan pegangan Islam yang mementingkan kebersihan dan kesihatan. Nabi Muhammad s.a.w. sangat menitikberatkan kebersihan mulut seperti dalam hadisnya dari Abu Hurairah r.a. yang berbunyi, “Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu sebelum berwuduk.”

Selamat berpuasa kepada para pembaca blog Klinik Pergigian Nur’Ain.

Artikel daripada: Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) seorang pegawai pergigian yang sedang bertugas di Kelantan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Nak kami tulis mengenai apa?

Emailkan idea/pertanyaan anda kepada kami

More To Explore

Blog

JENIS-JENIS PENDAKAP GIGI (BRACES)

1. TRADISIONAL / BESI Pendakap gigi (braces) jenis ini adalah yang paling popular dan biasanya apa yang kita bayangkan apabila kita mendengar perkataan braces atau

Blog

Kebaikan Scaling Gigi

Tahukah anda bahawa scaling gigi ini merupakan satu rawatan pergigian yang di kenali sebagai kaedah membersihkan atau cuci gigi secara rapi oleh doktor gigi. Rawatan

Hubungi kami

Untuk sebarang pertanyaan

Copyright © 2019 Klinik Pergigian Nur Ain