Rata-rata masyarakat sekarang cuma memberi perhatian kepada penjagaan gigi sahaja dan mengabaikan penjagaan gusi. Gusi juga komponen penting dalam pergigian yang perlu diberi perhatian. Gusi merupakan tisu lembut yg menutupi kawasan sekitar gigi. Mulut yang bersih akan menjamin kesihatan gusi anda.
Penyakit gusi boleh dibahagikan kepada dua iaitu pertama, gingivitis atau lebih kerap dipanggil radang gusi dan kedua adalah periodontitis.
Gingivitis ini berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman pada bahagian gusi anda. Plak atau sisa makanan yang tidak dibersihkan dengan betul akan berkumpul di celah gigi atau didalam poket gusi yg akan menyebabkan keradangan gusi/gingivitis.
Tanda-tanda seseorang menghidap gingivitis ialah:
1- Gusi berdarah ketika memberus gigi
2- Gusi menjadi bengkak dan mudah berdarah secara tiba-tiba
Periodontitis pula terjadi akibat jangkitan kuman yang telah merebak ke bahagian tulang pemegang gigi. Plak atau sisa makanan yang dibiarkan dan tidak dibersihkan akan menjadi keras dan membentuk karang/kalkulus gigi. Karang gigi inilah penyebab penyakit periodontitis ini terjadi. Jadi anda tidak seharusnya memandang enteng sekiranya terdapat karang gigi yang bewarna kelabu kehitaman di sekitar leher gigi anda.
Tanda-tanda seseorang menghidap periodontitis:
1- Gusi membengkak dan bernanah
2- Gigi menjadi longgar dan akhirnya terpaksa dicabut
3- Gigi nampak semakin memanjang.
Faktor lain risiko penyebab periodontitis adalah seperti;
-Merokok
-Warga tua
-Obesiti
-Penghidap diabetis
-Kekurangan Vitamin C
-Genetik
JADI APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN?
1- Melakukan pemeriksaan di klinik gigi.
Jika gingivitis dikesan doktor akan menjalankan rawatan penskaleran/ cuci gigi. Penskaleran gigi disarankan dibuat setiap tempoh 6 bulan sekali. Jika periodontitis dikesan, doktor akan menjalankan rawatan root planning/ pembersihan kawasan akar gigi dan rawatan ini memerlukan tempoh yang lebih kerap.
2- Pembersihan gigi yang maksimum.
-Gosok gigi 2 kali sehari.
-Menggunakan floss/benang gigi utk membersih sisa makanan di celah-celah gigi.
-Menggunakan ubat kumur sebagai pelengkap
pembersihan gigi.
Teknik pemberusan gigi dan pemilihan berus juga sangat penting. Jika anda menghadapi masalah gusi, kami menyarankan anda untuk menggunakan berus gigi yang lembut dan memberus dengan perlahan. Dengan cara ini dapat memelihara gusi anda daripada tercedera.
3- Amalkan pengambilan vitamin C.
Dengan pengambilan vitamin c juga dapat membantu mengurangkan masalah gusi berdarah, selain itu dengan pengambilan vitamin c juga dapat meningkatkan imun badan daripada serangan penyakit lain. Tapi pastikan anda rujuk terlebih dahulu doktor atau pakar nutrisi untuk mengenal pasti dose pengambilan vitamin untuk tubuh badan anda. Pengambilan vitamin c yang berlebihan juga boleh mengundang masalah kesihatan yang lain.
Natijahnya, masalah gusi berdarah ini boleh ditangani dengan syarat anda lebih cakna dengan kebersihan mulut. Gigi yang cantik, gusi yang sihat dan nafas yang segar akan menjadikan anda seorang yang lebih berketrampilan.