Punca Dan Rawatan Nafas Berbau

Dr. Ain Jaafar

Dr. Ain Jaafar

CEO NURAIN DENTACARE & KLINIK PERGIGIAN NUR AIN

Rata-rata daripada masyarakat kita ada mengalami masalah nafas berbau. Nafas berbau ini dalam istilah perubatan ianya di panggil “Halitosis”. Kebiasaannya masalah ini akan dialami oleh seseorang terutamanya sejurus bangun daripada tidur atau selepas mengambil makanan atau minuman. Masalah nafas berbau ini boleh mengakibatkan seseoarang itu berasa malu dan kurang keyakinan diri, malah turut melibatkan orang sekeliling terutama semasa berkomunikasi secara dekat.

Untuk pengetahuan pembaca semua, masalah nafas berbau ini lazimnya terjadi daripada tindak balas bakteria daripada sisa makanan yang tertinggal di dalam mulut kita. Masalah ini biasanya berlaku pada ketika kita bangun daripada tidur kerana pada waktu ini pH air liur kita akan lebih berasid. Dalam keadaan ini bakteria akan lebih mudah membiak dan bakteria ini akan merembeskan hasil perkumuhan yang terdiri daripada asid dan sulfur atau dalam istilah lain (Volatile Sulfur Compound – VSCs). VSCs ini lah yang menyebabkan bau kurang enak daripada mulut kita.

Lebih merumitkan keadaan bakteria ini mampu hidup tanpa oksigen dan biasanya hidup di sekitar kawasan-kawasan yang sukar dibersihkan seperti celah-celah gigi,lidah dan juga celah-celah gigi palsu.

Punca nafas berbau boleh dibahagikan kepada 2 faktor iaitu:

Intrinsic (dalaman):
1. Gigi berlubang
2. Bengkak gusi/ gusi bernanah
3. Kurang air liur
4. Masalah kesihatan seperti resdung

Extrinsic/environmental/luaran
1. Merokok
2. Pengambilan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dan beralkohol.
3. penggunaan gigi palsu
4. Terdapat penyakit gigi dan gusi
5. Tidak menitik beratkan penjagaan dan kebersihan mulut.
6. Kurang minum air kosong
7. Terlalu banyak bercakap
8. Pengambilan minuman beralkohol
9. Terdapat pengambilan ubat-ubatan yang mengakibatkan pengurangan penghasilan air liur atau menyebabkan mulut kering seperti ubat darah tinggi.
10. stress

Jika anda mengalami masalah ini berikut adalah perkara-perkara yang mampu membantu anda mengawal masalah nafas berbau.

1. Membersihkan gigi dan mulut setiap hari

Pastikan anda memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu pada awal pagi dan sebelum tidur. Gunakan benang flos dengan betul dan dengan kerap kerana benang flos dapat membantu membuang makanan yang terselit di celahan gigi yang mengakibatkan pembiakan bakteria nafas berbau. Seterusnya cuba memberus gigi dengan lebih lama sekurang-kurangnya dalam dua ke tiga minit masa memberus bagi memastikan semua bahagian diberus dan jangan lupa untuk memberus dan membersihkan pada bahagian lidah anda juga. Hal ini kerana kebanyakan bakteria ini terdapat pada bahagian lidah yang bersembunyi pada rekahan-rekahan lidah kita. Seterusnya penggunaan ubat kumur amat disarankan bagi melengkapkan pembersihan gigi dan mengurangkan nafas berbau.

2. Minum air kosong dengan lebih kerap

Air kosong dapat membantu mengekalkan kelembapan pada mulut anda dan mengelak daripada masalah mulut kering. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini masalah mulut kering juga menjadi salah satu punca masalah nafas berbau. Dengan pengambilan air kosong dengan lebih kerap juga dapat merangsang penghasilan air liur, membilas sisa-sisa makanan yang terselit dan secara tidak langsung dapat mencegah daripada penghasilan bakteria yang menyebabkan masalah nafas berbau.

3. Berjumpa dengan doktor gigi berhampiran secara berkala

Dengan membuat pemeriksaan secara berkala dengan doktor gigi anda dapat membantu anda memastikan mulut dan gigi anda sentiasa sihat.

Jangan kuatir, bukan anda seorang sahaja yang mengahadapi masalah nafas berbau ini malah hampir semua orang turut mengalaminya. Mujur anda cakna dan mengambil langkah untuk mencari punca dan cara mengatasi masalah ini.

Adalah amat mejengkelkan juga jika terdapat daripada rakan kita yang mempunyai masalah nafas berbau akan tetapi tidak ada inisiatif untuk mengatasi masalah ini. Nak di tegur takut terasa hati. Maka dengan penulisan kali ini, anda kongsikanlah kepada mereka agar meraka turut mendapat manfaat bersama. Moga selepas ini semua orang mampu berbual dengan selesa tanpa ada masalah nafas berbau.

You cannot copy content of this page