Betul Ke Serbuk Arang Boleh Memutihkan Gigi?

serbuk-arang-gigi

Suatu ketika dahulu pernah tular di media sosial mengenai produk-produk serbuk arang pemutih gigi. Jika kita layari laman sosial seperti Facebook dan Instagram setiap hari ada sahaja iklan produk-produk pemutih gigi ini. Hal ini berpunca daripada permintaan daripada pengguna yang rata-rata mahukan gigi yang putih dan bersinar, maka tidak hairanlah produk-produk muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Untuk makluman anda semua, khasiat serbuk arang sebagai agen pemutih gigi belum dapat disahkan melalui mana-mana kajian saintifik buat masa ini. Bahkan penggunaan dalam jangka masa panjang akan memberi kesan negatif kepada gigi anda.

Pada ketika ini terlalu banyak maklumat yang kurang sahih yang dikongsi dan ditular di media sosial antaranya termasuklah arang adalah agen yang paling berkesan dalam mendapatkan gigi yang putih. Hal ini lebih merumitkan apabila selebriti dan ikon-ikon media sosial berkongsi maklumat ini dan membuatkan pengguna laman sosial mempercayainya tanpa ada usul periksa.

Untuk makluman anda semua, arang dipercayai mempunyai unsur seperti magnet yang mampu memerangkap atau menarik kotoran pada gigi. Secara teorinya, semua kekotoran yang terlekat pada serbuk arang tadi akan dikeluarkan apabila anda selesai memberus gigi dan berkumur-kumur. Pengamal perubatan, rata-ratanya mempercayai bahawa serbuk arang cuma membersihkan gigi dan tidak dapat memutihkan gigi. Ini bercanggahan dengan apa yang ditular oleh peniaga dan ikon selebriti di media sosial.

Malah terdapat satu kajian yang dilakukan oleh pelajar jurusan pergigian di Universiti Creigton Amerika Syarikat, yang mendapati bahawa arang mempunyai sifat menghakis atau ‘abrasive’, justeru jika bahan ini digunakan dalam jangka masa yang panjang akan menyebabkan lapisan paling luar enamal gigi akan menipis sehingga mendedahkan lapisan kedua iaitu dentin. Hal ini akan menyebabkan berlakunya gigi sensitif. Anda akan merasa sangat ngilu kerana liang-liang tubul yang terdapat dalam dentin telah terbuka.

Medical Education Chart of Biology for Tooth Anatomy Diagram. Vector illustration

Maka adalah disarankan untuk tidak lagi menggunakan serbuk arang gigi untuk mendapatkan gigi yang putih. Sekali lagi kami di Klinik Pergigian Nur Ain menegaskan bahawanya serbuk arang tidak dapat memutihkan gigi.

Punca Dan Rawatan Nafas Berbau.

nafas berbau

Rata-rata daripada masyarakat kita ada mengalami masalah nafas berbau. Nafas berbau ini dalam istilah perubatan ianya di panggil “Halitosis”. Kebiasaannya masalah ini akan dialami oleh seseorang terutamanya sejurus bangun daripada tidur atau selepas mengambil makanan atau minuman. Masalah nafas berbau ini boleh mengakibatkan seseoarang itu berasa malu dan kurang keyakinan diri, malah turut melibatkan orang sekeliling terutama semasa berkomunikasi secara dekat.

Untuk pengetahuan pembaca semua, masalah nafas berbau ini lazimnya terjadi daripada tindak balas bakteria daripada sisa makanan yang tertinggal di dalam mulut kita. Masalah ini biasanya berlaku pada ketika kita bangun daripada tidur kerana pada waktu ini pH air liur kita akan lebih berasid. Dalam keadaan ini bakteria akan lebih mudah membiak dan bakteria ini akan merembeskan hasil perkumuhan yang terdiri daripada asid dan sulfur atau dalam istilah lain (Volatile Sulfur Compound – VSCs). VSCs ini lah yang menyebabkan bau kurang enak daripada mulut kita.

Lebih merumitkan keadaan bakteria ini mampu hidup tanpa oksigen dan biasanya hidup di sekitar kawasan-kawasan yang sukar dibersihkan seperti celah-celah gigi,lidah dan juga celah-celah gigi palsu.

Punca nafas berbau boleh dibahagikan kepada 2 faktor iaitu:

Intrinsic (dalaman):
1. Gigi berlubang
2. Bengkak gusi/ gusi bernanah
3. Kurang air liur
4. Masalah kesihatan seperti resdung

Extrinsic/environmental/luaran
1. Merokok
2. Pengambilan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dan beralkohol.
3. penggunaan gigi palsu
4. Terdapat penyakit gigi dan gusi
5. Tidak menitik beratkan penjagaan dan kebersihan mulut.
6. Kurang minum air kosong
7. Terlalu banyak bercakap
8. Pengambilan minuman beralkohol
9. Terdapat pengambilan ubat-ubatan yang mengakibatkan pengurangan penghasilan air liur atau menyebabkan mulut kering seperti ubat darah tinggi.
10. stress

Jika anda mengalami masalah ini berikut adalah perkara-perkara yang mampu membantu anda mengawal masalah nafas berbau.

1. Membersihkan gigi dan mulut setiap hari

Pastikan anda memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu pada awal pagi dan sebelum tidur. Gunakan benang flos dengan betul dan dengan kerap kerana benang flos dapat membantu membuang makanan yang terselit di celahan gigi yang mengakibatkan pembiakan bakteria nafas berbau. Seterusnya cuba memberus gigi dengan lebih lama sekurang-kurangnya dalam dua ke tiga minit masa memberus bagi memastikan semua bahagian diberus dan jangan lupa untuk memberus dan membersihkan pada bahagian lidah anda juga. Hal ini kerana kebanyakan bakteria ini terdapat pada bahagian lidah yang bersembunyi pada rekahan-rekahan lidah kita. Seterusnya penggunaan ubat kumur amat disarankan bagi melengkapkan pembersihan gigi dan mengurangkan nafas berbau.

2. Minum air kosong dengan lebih kerap

Air kosong dapat membantu mengekalkan kelembapan pada mulut anda dan mengelak daripada masalah mulut kering. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini masalah mulut kering juga menjadi salah satu punca masalah nafas berbau. Dengan pengambilan air kosong dengan lebih kerap juga dapat merangsang penghasilan air liur, membilas sisa-sisa makanan yang terselit dan secara tidak langsung dapat mencegah daripada penghasilan bakteria yang menyebabkan masalah nafas berbau.

3. Berjumpa dengan doktor gigi berhampiran secara berkala

Dengan membuat pemeriksaan secara berkala dengan doktor gigi anda dapat membantu anda memastikan mulut dan gigi anda sentiasa sihat.

Jangan kuatir, bukan anda seorang sahaja yang mengahadapi masalah nafas berbau ini malah hampir semua orang turut mengalaminya. Mujur anda cakna dan mengambil langkah untuk mencari punca dan cara mengatasi masalah ini.

Adalah amat mejengkelkan juga jika terdapat daripada rakan kita yang mempunyai masalah nafas berbau akan tetapi tidak ada inisiatif untuk mengatasi masalah ini. Nak di tegur takut terasa hati. Maka dengan penulisan kali ini, anda kongsikanlah kepada mereka agar meraka turut mendapat manfaat bersama. Moga selepas ini semua orang mampu berbual dengan selesa tanpa ada masalah nafas berbau.

Pilihan Rawatan Untuk Gigi Yang Hilang

Tahukah anda bahawa gigi yang sudah dicabut itu perlu diganti dengan gigi lain?

Kegagalan berbuat demikian menyebabkan pelbagai implikasi yang boleh memberi kesan kepada ketidakseimbangan pada struktur tulang dan gusi.

Dengan membiarkan kawasan yang lompong tanpa gigi gantian, fungsi mengunyah makanan seseorang akan terganggu. Selain itu, gigi yang tinggal boleh bergerak ke ruangan kosong (mesial shift) dan menyebabkan susunan gigi tidak serata. Selain itu, tulang rahang juga cepat mengecut dan seterusnya menjadikan sokongan gigi berkurangan, kesannya gigi sedia ada menjadi longgar dan mudah tercabut.

Terdapat tiga pilihan rawatan yang boleh anda pertimbangkan:

1. Dentur/gigi palsu (penuh/sebahagian)
2. Bridge/jambatan gigi
3. Implant/tanam gigi

DENTURE

Kelebihan:
Dentur ialah pilihan gigi palsu yang mempunyai kos terendah untuk mengantikan bahagian gigi yang hilang. Pilihan ini juga cuma mengambil masa yang singkat untuk siap biasanya dalam tempoh seminggu hingga empat minggu sahaja.

Kekurangan:
Walaubagaimanapun, kekurangan dentur adalah ianya kurang selesa kerana boleh bergerak semasa anda menguyah makanan dan mempunyai daya kunyah yang kurang berbanding pilihan lain. Ia juga mudah patah sekiranya terjatuh.

BRIDGE

Kelebihan:
Alternatif kedua ialah Bridge. Gigi palsu bridge yang diperbuat daripada porcelain/zirconia akan diletakan pada tempat gigi yang hilang dengan sokongan gigi bersebelahannya (lihat gambar untuk gambaran yang lebih jelas). Maka ia tidak boleh dibuka dan keka.Ianya jauh lebih kuat jika dibandingkan dengan dentur. Doktor akan membentuk gigi bersebelahan dengan kawasan gigi yang hilang bagi membolehkan keduan gigi berkenanan memberi sokongan kepada gigi palsu yang akan dipasang. Dengan menggunakan kaedah ini ia dapat membantu untuk memberi sokongan penuh ketika anda mengunyah makanan.

Kekurangan:
Namun pilihan alternatif ini juga mempunyai kekurangan dimana, gigi tumpang (gigi asli/gigi sebelah) perlu diubah suai. Kosnya lebih tinggi berbanding dentur. Kegagalan proses ini akan menyebabkan korosakan pada gigi asli anda. Makanan yang terselit sukar dibersihkan.

Anda perlu mematuhi segala nasihat doktor mengenai penjagaan dan kaedah pembersihan gigi pada kawasan berkenanaan supaya ia kekal lama.

IMPLANT

Kelebihan:
Alternatif yang terakhir ialah implant atau kebiasaan dipanggil tanam gigi. Implant pergigian merupakan titanium yang di tanam ke dalam tulang rahang anda untuk menggantikan akar gigi yang hilang. Implant juga antara alternatif yang terbaik kerana ianya lebih kukuh dan tidak menjejaskan struktur gigi bersebelahannya seperti kaedah bridge. Selain itu, dengan kaedah ini juga dapat menutup ruangan kosong antara gigi tidak seperti kedah bridge dimana akan menyebabkan makanan yang terselit sukar dibersihan. Anda juga dapat mengunyah seperti biasa kerana kaedah ini akan kekal ditempatnya. Akhir sekali ianya tahan lama dan selesa dengan bantuan penjagaan yang betul.

Kekurangan:
Akan tetapi pilihan ini memakan kos yang sangat tinggi dan lama untuk dihasilkan. Banyak faktor yang diambil kira sebelum implant boleh dipasang seperti umur, sejarah perubatan dan gaya kehidupan seseorang. Jika perlu, pemindahan dan penambahan tulang juga akan dilakukan yang membuka kepada komplikasi dan masalah lain.

Apa pun pilihan yang anda, anda perlulah merujuk dan mendapatkan nasihat daripada doktor gigi yang berhampiran.

Gigi Geraham Bongsu Terimpak

sakit gigi geraham
gigi geraham

Gigi geraham bongsu ialah gigi yang terletak pada bahagian paling belakang sekali, dan terdapat empat batang gigi geraham bongsu bagi setiap orang dewasa. Untuk makluman semua, terdapat 32 batang gigi keseluruhannya bagi setiap orang dewasa. 16 batang pada setiap bahagian atas dan bawah. Jika di lihat daripada pandangan sisi, maka boleh dirumuskan terdapat lapan batang gigi pada setiap bahagian kiri dan kanan.

Geraham bongsu ini adalah gigi yang ke 8 dan terletak pada bahagian belakang sekali bagi setiap belah atas, bawah kiri dan kanan. Maka ada empat batang kesemuanya. Gigi geraham bongsu ini akan tumbuh pada sekitar umur 18 sehingga umur 25 tahun. Tidak semua gigi bongsunakan tumbuh secara normal. Kebanyakannya tumbuh secara tidak normal atau dalam keadaan terimpak. Dalam istilah perdoktoran ianya dipanggil “impacted third molar” dan “impacted wisdom tooth”.

Gigi geraham bongsu ini akan tumbuh dalam tiga keadaan.

1- Tumbuh penuh tapi senget
2- Tumbuh separa
3- Tumbuh secara terbenam ke dalam gusi

Implikasi daripada hal ini menyebabkan beberapa masalah lain antaranya

1- Gigi Berlubang
Hal ini berpunca daripada sisa makanan yang tersekat di antara gigi ke 7 (geraham besar kedua) dan ke 8(gigi bongsu) yang kemudiannya menyebabkan kejadian gigi berlubang. Sekiranya gigi berlubang ini tidak dirawat ia akan menjadi semakin serius sehingga menyebabkan jangkitan kuman pada akar gigi. Dikala ini anda akan mengalami sakit gigi yang melampau sehingga tidak mampu membuat kerja harian seperti biasa. Kerosakan ini bukan sahaja boleh berlaku pada gigi geraham bongsu malah lebih memburukan keadaaan apabila masalah jangkitan ini juga boleh berlaku pada gigi yang ke 7.

2- Pericoronitis (jangkitan kuman disekiling gusi gigi bongsu).
Apabila gigi geraham bongsu ini tumbuh dalam keadaan senget, terdapat gusi yang tumbuh di sekitar gigi geraham bongsu atau dalam istilah lain ianya dipanggil “Operculum”. Gusi yang tumbuh disekitar gigi ini seperti ada ruang yang boleh memerangkap sisa makanan dan secara tidak langusng boleh menyebabkan jangkitan kuman yang membawa kepada masalah gusi bengkak dan kesakitan.

RAWATAN DIPERLUKAN:

Rawatan adalah bergantung kepada simptom yang dialami pesakit dan juga bergantung pada posisi atau keadaan gigi tersebut. Pada kebiasaannya doktor akan mencadangkan agar gigi tersebut dikeluarkan atau dicabut melalui cabutan biasa ataupun melalui pembedahan kecil.

Jika anda ada merasa kesakitan pada bahagian belakang gigi di sekitar umur 18 hingga 25 tahun ini kemungkinan ianya berpunca daripada gigi geraham bongsu anda, maka adalah disarankan untuk anda mendapatkan rawatan di klinik gigi yang berhampiran dengan segera.